Merdeka; Tidak Datang Percuma
[مليسيا]
![]() |
| Foto Freepik |
Selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, British merancang mengubah seluruh struktur pentadbiran dengan menggabungkan semua negeri menjadi Malayan Union (1946). Dengan ini, sultan hilang kuasa, bangsa asal terpinggir, orang asing lebih mudah mendapat kerakyatan. Orang Melayu marah dan bangkit — bersatu, berdemo, menulis surat, mengumpul petisyen. Lahirnya UMNO sebagai suara kolektif bangsa Melayu. Akhirnya British terpaksa membatalkan Malayan Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu (1948).
![]() |
| Illustrasi ini diambil daripada Portal Rasmi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Bangunan ini adalah sebuah replika Istana Kesultanan Melaka yang memaparkan kisah pelbagai budaya dan tamadun Melayu abad ke-15 terletak di kaki Bukit St. Paul. Click gambar untuk ke pautan Portal Rasmi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. |
Bersatu Tak Mudah: Komunis & Rusuhan Kaum
Sebelum merdeka pada 31 Ogos 1957, antara 1948–1960, kaum bukan Melayu boleh memohon jadi warganegara melalui pendaftaran atau naturalisasi — tetapi mesti memenuhi syarat: lahir di Tanah Melayu, setia pada Raja dan negara, fasih berbahasa Melayu dll. Selepas merdeka, proses kewarganegaraan diperincikan dalam Perkara 14 hingga 31 Perlembagaan Persekutuan. Yang tidak memenuhi syarat, dihantar pulang ke negara asal.
Namun, Parti Komunis Malaya (PKM) yang pernah membantu menghalau Jepun mula memasang strategi baru: merampas kuasa Tanah Melayu. Mereka merekrut ramai penduduk Cina yang tinggal di pinggir kampung dan kawasan terpencil sebagai sokongan gerila di hutan. Hutan menjadi markas gerila komunis. Untuk melemahkan mereka, British menubuhkan lebih 450 Kampung Baru — penempatan khas untuk menempatkan komuniti Cina luar bandar, terutama di pinggir hutan. Kenapa orang Cina? Kerana majoriti ahli PKM pada masa itu berbangsa Cina dan sangat bergantung pada kampung terpencil untuk bekalan makanan, ubat dan maklumat. Akibatnya, lebih 500,000 penduduk (kebanyakannya Cina) dipindahkan ke Kampung Baru ini.
Kemuncaknya, peristiwa 13 Mei 1969 tercetus. Pergolakan ini amat mendukacitakan: dianggarkan lebih 196 orang terkorban, ribuan lagi cedera atau kehilangan harta benda. Darurat diisytiharkan di beberapa kawasan termasuk Kuala Lumpur. Parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein untuk memulihkan keadaan. Negara benar-benar di hujung tanduk — kalau gagal disatukan semula, kemerdekaan pun boleh ditarik balik.
![]() |
| Ilustrasi kapal perang daripada AI |
Kongsi Kuasa: Titik Kritikal
Sebenarnya, formula kongsi kuasa ini dah wujud lama — sebelum pun 13 Mei 1969 berlaku. Sejak tahun 1954 lagi, orang Melayu, Cina dan India dah duduk semeja: UMNO, MCA dan MIC bergabung tubuh Parti Perikatan. Inilah simbol rasmi semangat kongsi kuasa antara kaum.
Tapi, kenapa masih berlaku 13 Mei?
Walaupun negara sudah merdeka, benih perkauman terus disemai oleh pihak berkepentingan, dan akhirnya rakyat menjadi mangsa. Pergaduhan kaum ini menjadi detik hitam paling pahit dalam sejarah Malaysia moden.
Suasana politik masa itu membara — parti pembangkang mencabar dasar pro-Bumiputera, retorik kaum dijadikan senjata kempen, ditambah pula jurang ekonomi bandar dan luar bandar yang semakin ketara. Bila keputusan Pilihan Raya 1969 diumumkan, ketegangan yang lama terpendam akhirnya meletup menjadi tragedi berdarah.
Apa Untungnya?
Jika kita melihat semula sejarah ini secara zoom out, negara akan musnah jika kita menjadi pengkhianat dan pemecah belah.
Kalau mahu membangkang, biarlah dengan dasar cinta kepada negara dan menjadi check and balance. Cari titik tengah di mana damai boleh diraih. Menang suami bermakna kalah isteri; anak-anak terabai. Negara umpama keluarga — kita perlu menang bersama.
Yang di tampuk kuasa pula bukan sekadar duduk di Parlimen — amanah itu perlu dijaga dengan toleransi, adab dan saling menghormati. Ada pertanggungjawaban besar yang menanti di sana.
Apabila semuanya disusun semula dengan hikmah, cantiknya hasil adalah buah perbincangan dan keputusan kolektif. Sebab beradu kekuatan bukanlah penyelesaian. Dalam Islam, berperang itu pilihan terakhir — hanya bila dizalimi dan diancam. Allah berfirman:
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”(Surah Al-Baqarah: 190)
Nabi Muhammad ï·º hanya terlibat dalam 27 kali ekspedisi perang, tetapi sebahagian besarnya tidak berlaku pertempuran pun kerana rundingan damai lebih diutamakan. Rundingan dan perjanjian seperti Hudaibiyah menjadi bukti kebijaksanaan mendahulukan damai.
Tiada siapa mahu membina kemakmuran dengan menghancurkannya terlebih dahulu.
Jadi, kalau semua rakyat yang berbilang bangsa dan agama faham ini, maka tidak timbul lagi soal siapa lebih baik. Semua punya hak — selagi mematuhi undang-undang. Bila suara pecah, musuh luar masuk. Bila rapat barisan, busuk di pisang pun boleh dibuang.
Kalau kita ulang silap lama, kita ulang penderitaan yang sama.
Tak ada apa yang dapat untung kalau asyik bergaduh — hanya rugi hati, rugi tanah air.
Dan akhirnya,
Masih ada banyak ruang untuk diperbaiki. Yang belum diletakkan pada tempatnya perlu diusahakan, disuarakan dan dibincangkan secara tertib di Parlimen dan melalui saluran undang-undang. Jika tak berhasil, rakyat perlu bersatu untuk mendesaknya — bukan dengan meruntuhkan negara. Kerana akhirnya, di sinilah kita semua berteduh.
Tolak politik kotor, tolak pemimpin korup dan rasuah. Pilih yang jujur dan amanah dalam menjaga hak rakyat — itulah jalan menuju kemakmuran.
“Bahasa, budaya, tanah air — inilah tiga tiang bangsa. Jika patah satu, robohlah rumahnya.” A. Samad Said.
Fakta tambahan: Ramai tidak sedar, selepas merdeka, sebahagian imigran yang memilih untuk pulang ke negara asal mendapati pintu tertutup buat mereka. Ada yang tidak diterima, malah ditindas atau dibunuh kerana dianggap bukan ‘penduduk tulen’. Malaysia, sebaliknya, membuka tangan — memberi peluang menjadi warganegara, memegang jawatan, bebas beragama, bebas berbudaya — asalkan taat pada undang-undang. Inilah rahmat besar yang wajar disyukuri. Kita sudah merdeka bukan sekadar pada kertas, tetapi juga dalam cara kita memuliakan kemanusiaan. Maka, jagalah tanah ini bersama-sama. Usah dirosakkan demi dendam atau kerakusan.
Salam hormat
kuihkocimy
Rujukan
- Wey, A., & Harun, A. (2018). Grand strategy of the Malacca Sultanate, 1400–1511. Comparative Strategy, 37, 49 - 55. https://doi.org/10.1080/01495933.2017.1419726.
- Matson, J. (1957). The Conflict of Legal Systems in the Federation of Malaya and Singapore. International and Comparative Law Quarterly, 6, 243 - 262. https://doi.org/10.1093/iclqaj/6.2.243.
- Kratoska, P. (2015). Selangor and Perak in 1942 (皇紀 2602): Japan’s Occupation of Malaya Begins. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 88, 59 - 78. https://doi.org/10.1353/RAS.2015.0002.
- Ann, L. (1974). Fiscal Policy and Political Transition: The Case of Malaya, 1948–1960. Journal of Southeast Asian Studies, 5, 102 - 114. https://doi.org/10.1017/S0022463400016878.
- Ken, W. (1982). British Policy and Malay Politics during the Malayan Union Experiment, 1942–1948 . By A.J. Stockwell. Malayan Branch of the Royal Asiatic Society Monograph No. 8, Kuala Lumpur, 1979.. Journal of Southeast Asian Studies, 13, 184 - 191. https://doi.org/10.1017/S0022463400014065.
- Hussain, W., Ngah, A., Din, M., & Lateh, H. (2017). RAJA-RAJA DALAM PENGINSTITUSIAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1957: SATU KAJIAN SEJARAH PERUNDANGAN MALAY RULERS IN INSTITUTIONALIZING THE CONSTITUTION OF THE FEDERATION OF MALAYA 1957: A STUDY OF LEGAL HISTORY. , 2, 27-39. https://doi.org/10.24200/JONUS.VOL2ISS1PP27-39.
Gambar kredit: Oleh rawpixel.com & freepik, Freepik



0 Comments