Subsidi Ditarik Balik?: Kenapa Subsidi Perlu Disusun Semula?
“Eh, kenapa harga diesel naik? Dah takde subsidi ke?”
“Beras mahal lah, kerajaan potong subsidi lagi ke?”
Sebab itu bila dengar sahaja khabar subsidi akan ditarik atau dirombak, ramai mula gusar. Bimbang harga barang naik mendadak dan poket makin kempis. Tapi di sebalik resah itu, ada perkara penting yang kita semua — rakyat biasa — wajar ambil tahu: apa sebenarnya tujuan subsidi, kenapa sesetengahnya terpaksa disusun semula, dan ke mana duit yang ‘ditarik’ ini sepatutnya pergi.
Apa Sebenarnya Subsidi?
Secara mudah, subsidi ialah duit kerajaan (hasil daripada cukai dll) untuk menampung harga barang atau perkhidmatan agar lebih mampu milik. Barang-barang harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula, petrol RON95, diesel dan gas masak adalah contoh paling dekat. Selain itu, bil elektrik untuk isi rumah berpendapatan rendah, tambang bas sekolah, pas tren murah, kos pendidikan dan antara yang paling mahal adalah kos kesihatan — semua ini sebahagiannya datang daripada subsidi.
Selama berpuluh tahun, subsidi bersifat terbuka: siapa pun, kaya atau sederhana, dapat manfaat yang sama. Kereta besar dan berjenama mewah dapat minyak murah, lori kontena juga dapat diesel murah, dan kadang kala subsidi ini ‘bocor’ dibawa ke sempadan negara jiran oleh orang jahat yang mengambil untung atas angin. Inilah sebab mengapa kerajaan mula menilai semula cara subsidi diagihkan.
Kenapa Ada Subsidi Yang Perlu Ditukar atau Dikurangkan?
Beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan mula menukar cara pemberian subsidi supaya lebih adil dan berkesan. Misalnya, subsidi diesel kini disasar kepada pengangkutan awam dan nelayan sahaja. Pengguna individu pula boleh memohon bantuan tunai terus, seperti program BUDI MADANI. Subsidi elektrik untuk industri besar juga disemak semula, agar subsidi tidak membebankan perbelanjaan negara secara berlebihan.
Matlamatnya mudah: supaya subsidi benar-benar sampai kepada mereka yang lebih memerlukan, bukan sekadar melindungi orang yang sebenarnya mampu menanggung kos sebenar.
Apa Fungsi Subsidi Sebenarnya?
Pada asasnya, subsidi wujud untuk menjaga kestabilan harga barang asas, melindungi golongan berpendapatan rendah, dan membantu ekonomi negara berjalan lancar. Namun, apabila subsidi diberi secara terbuka tanpa had, kerajaan terpaksa menanggung kos besar — yang mencecai bilion ringgit setahun.
Kalau jumlah ini tidak diurus betul-betul, hutang negara boleh meningkat, dan kesannya tetap berbalik pada kita juga — contohnya dalam bentuk cukai atau pengurangan perkhidmatan awam. Jadi, bila subsidi dirombak, penting untuk kita pastikan duit yang dijimatkan tidak ‘hilang’, tetapi digunakan semula untuk rakyat.
Ke Mana Duit Subsidi Patut Pergi?
Inilah persoalan paling besar: bila subsidi dikurangkan, duitnya mesti jelas ke mana hala tujunya. Harapan kita sebagai rakyat ialah wang yang dijimatkan boleh disalur kepada:
- Bantuan tunai yang terus sampai ke tangan golongan layak, supaya dapat meringankan beban kos harian.
- Membaiki dan menambah baik perkhidmatan awam seperti bas, tren, hospital, sekolah dan jalan raya.
- Menyokong pengeluaran makanan dalam negara, agar kita tidak terlalu bergantung pada hasil import.
- Dana kecemasan negara, supaya kita bersedia bila berlaku bencana alam (Cth: banjir atau gempa bumi) atau krisis kesihatan (Cth: COVID-19).
Elak Jadikan Subsidi Umpan Politik
Apa pun warna bendera yang dipacak, subsidi tak sepatutnya dijadikan modal retorik untuk memancing undi. Janji manis menurunkan harga barang tanpa pelan yang jelas boleh buat kita leka. Lebih bahaya, ia mencipta harapan yang tak berdasar, dan akhirnya, yang kecewa tetap rakyat biasa.
1. Berapa peratus penerima bantuan bersasar yang benar-benar layak telah menerima?
Bukan cukup sekadar umum bantuan, tapi kena jelas siapa dapat. Adakah bantuan sampai kepada warga emas, B40, nelayan, petani, peniaga kecil — atau tersangkut di tengah jalan dan diberi kepada kroni?
2. Apa perubahan ketara selepas subsidi dirombak?
Contohnya: Adakah harga barang lebih stabil? Adakah ketirisan turun? Berapa jumlah penjimatan yang berlaku, dan apa yang dilakukan dengan jumlah itu?
3. Berapa peratus dana subsidi yang disalur semula kepada rakyat dalam bentuk lain?
Kalau subsidi dikurangkan, rakyat berhak tahu: adakah dana itu ditukar kepada bantuan tunai, perkhidmatan awam, atau diserap dalam operasi pentadbiran?
4. Apa manfaat jangka pendek dan jangka panjang yang rakyat boleh lihat dan rasa?
Adakah rakyat nampak kesannya dalam tempoh 1–2 tahun, atau hanya tinggal dalam kertas dasar? Penting untuk kerajaan nyatakan dengan jelas garis masa dan indikator kejayaan.
5. Apa pelan sokongan jangka panjang supaya rakyat tak selamanya bergantung pada subsidi?
Contohnya: Adakah ada pelaburan untuk latih rakyat berdikari? Tingkatkan hasil pertanian? Baiki gaji minimum? Kurangkan jurang kos hidup bandar dan luar bandar?
Lima soalan ini bukan untuk menuduh, tapi untuk menuntut penjelasan secara sihat. Bila rakyat tahu apa yang patut ditanya, barulah kita tak mudah dipusing dengan janji kosong. Supaya subsidi tak jadi gula-gula pilihan raya, tapi alat bantu negara jadi lebih adil dan bersedia.
Bagaimana Kita Boleh Rasa Perubahan?
Kalau benar subsidi bersasar ini berjalan dengan amanah dan jujur, kesannya akan dirasai dalam tiga tahap:
- Jangka pendek (1–2 tahun): Bantuan tunai sampai pada yang benar-benar layak, harga barang asas lebih stabil, dan kebocoran subsidi dapat dikurangkan.
- Jangka sederhana (2–5 tahun): Kemudahan awam lebih teratur, hutang negara lebih terkawal, dan rakyat lebih faham nilai sebenar subsidi yang bukan sekadar penanda harga murah.
- Jangka panjang (5–10 tahun): Ekonomi negara bertambah kukuh, rakyat makin kurang bergantung pada subsidi terbuka, dan negara lebih bersedia menghadapi krisis mendatang.
Penutup: Subsidi, Kalau Diurus Dengan Baik
Kalau kita faham ke mana duit subsidi pergi, kalau kita celik kenapa ia ditarik atau disusun semula, kita tak mudah goyah bila orang menjual retorik. Kita berdiri atas fakta, bukan emosi.
Dan pada akhirnya — di dapur rumah, di warung, di pasar malam — itulah kemenangan sebenar: rakyat yang saling jaga, saling bantu, saling hormat.
Semoga kita terus jadi rakyat yang celik maklumat, kuat menegur dengan fakta, dan tidak mudah terpesona dengan janji yang manis di mulut, tapi hambar di tindakan.
Salam hormat,
kuihkociMy


0 Comments