Bila Korban Disalah Faham: Cerita Di Sebalik Sembelihan
“Orang Islam ni suka tengok darah, tiap-tiap tahun sembelih haiwan.”“Kenapa orang Islam raikan bunuh haiwan? Macam takde rasa simpati langsung.”“Adakah haiwan yang dibunuh tu sebagai pemujaan?”
Beberapa komen dan perbualan yang saya baca dari netizen seluruh dunia. Ada yang bertanya secara terus, ada juga yang berborak antara mereka. Tapi cukup jelas maksudnya.
Saya tarik nafas sekejap.
Bukan marah, tapi agak terkejut.
Mungkin sebab saya dah biasa tengok suasana raya korban sejak kecil. Dengan mood pagi raya, bau rumput basah yang segar, orang kampung jalan ramai-ramai ke masjid sambil ucap “Selamat Hari Raya!” dan lembu dari baka terbaik yang diikat ditepi tiang dan pokok.
Semuanya terasa normal malah mengujakan seperti hari perayaan aidilfitri.
Tapi… sambil saya garu pipi kiri yang tiba-tiba rasa gatal (entah kenapa), saya terfikir balik:Apa yang normal bagi kita, mungkin sangat pelik bagi orang lain. Terutama yang tak pernah hidup dalam komuniti Muslim. Bahkan yang muslim juga ada yang keliru.
Dan bila saya baca dengan hati terbuka, saya sedar — mereka bukan benci. Mereka cuma tak tahu.
Jadi hari ni, saya nak cerita. Bukan untuk membalas, tapi untuk berkongsi. Anggaplah ini jawapan dari seorang kawan.
Kisah Korban Sebenarnya
Amalan korban ni, sebenarnya bukan semata-mata tentang menyembelih haiwan. Ia datang dari satu kisah agung—kisah Nabi Ibrahim A.S dan anaknya, Nabi Ismail A.S.
Satu hari, Nabi Ibrahim diuji oleh Allah dengan satu perintah yang luar biasa berat: untuk menyembelih anaknya sendiri.
Ya, anak yang sangat dinantikan. Anak yang dilahirkan selepas bertahun-tahun berdoa. Dan sebelum itu, Nabi Ibrahim juga sudah diuji—diperintahkan untuk meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail di tengah-tengah padang pasir yang kering dan sunyi.
Selepas sekian lama, bila mereka akhirnya bertemu semula... datang pula perintah yang lebih berat: sembelih anakmu.
Kalau kita yang diberi ujian tu, tentu sekali kita akan rebah. Tapi jiwa seorang Nabi itu sangat luar biasa. Nabi Ibrahim taat. Dan yang lebih menyentuh hati — Nabi Ismail juga rela dan patuh.
Namun, saat keduanya sudah bersedia, Allah gantikan ujian itu dengan seekor haiwan untuk disembelih.
Dan dari situlah bermulanya amalan korban — yang menjadi simbol ketaatan, keikhlasan dan kepatuhan hamba kepada Tuhan yang Maha Mengetahui.
Link video untuk lebih faham:
Tapi, Islam Tak Berhenti Di Situ
Ibadah korban bukan sekadar sembelih dan siap. Ia dibuat dengan arah yang jelas.
Sebelum tiba hari korban, umat Islam digalakkan untuk berpuasa, memperbanyakkan doa dan amal kebajikan. Pagi raya pula dimulakan dengan solat — satu suasana yang penuh tenang dan syukur. Dan kebiasaannya selepas itu, barulah sembelihan dilakukan.
Dan ya, sembelihan itu pun ada adab dan garis panduannya. Bukan main sembelih saja. Bukan juga pesta darah.
Antara yang Islam tekankan:
- Pisau mesti betul-betul tajam – supaya haiwan tidak terseksa lama.
- Haiwan tidak boleh melihat haiwan lain disembelih.
- Bacaan nama Allah sebelum sembelih – “Bismillah, Allahu Akbar” sebagai tanda bahawa ini bukan kekejaman, tetapi ibadah.
- Disembelih pada bahagian trakea dan dua salur darah utama (trachea dan carotid arteries) – untuk memastikan kematian yang cepat, mengurangkan kesakitan dan tekanan pada haiwan.
Kalau kita lihat betul-betul, semua ini bukan tentang kekejaman. Bahkan sebaliknya — ia tentang adab terhadap makhluk hidup, walaupun haiwan.
Saya tahu, ada kawan-kawan vegan yang mungkin tak bersetuju. Dan itu tidak mengapa. Saya hormat pegangan kamu.
Tapi bagi kami, panduan ini bukan dibuat sewenang-wenangnya. Kami percaya pada Tuhan yang mencipta kami dan seluruh alam ini. Seperti mana seorang ibu suruh anaknya makan daging, ikan dan sayur, walaupun anak merungut. Bukan sebab nak dera anak tu — tapi sebab dia tahu, itu yang terbaik untuk kesihatan mereka.
Begitulah juga kami sebagai hamba. Kami ikut garis panduan dari Pencipta kami. Dan pada saya, itu bukan beban. Itu satu keindahan dalam hidup sebagai seorang Muslim.
Dan tahu tak, kajian juga membuktikan sembelihan Islam, yang ikut syariat — lebih baik dari sudut sains?
Kajian saintifik perbezaan cara sembelihan muslim dan non-muslim
- Effect of halal and stunning slaughter methods on meat quality: A review
- Effect of Halal and Non-Halal Slaughtering Methods on Bacterial Contamination of Poultry Meat
🥩 Korban = Daging Percuma? Boleh jual ke?
Betul... dan tak berapa betul juga. 😄
Tenang dulu… ada penjelasannya.
Bagi yang mampu, daging korban tidak boleh untuk dijual beli. Ia untuk diagihkan — kepada fakir miskin, jiran tetangga, dan ahli keluarga. Ia satu bentuk ibadah dan sedekah.
Tapi untuk golongan yang menerima — hanya kepada fakir miskin — mereka boleh menjual daging itu, jika dapat membantu menjana sedikit pendapatan. Islam tidak menghinakan mereka kerana itu, malah memuliakan usaha mereka untuk berdikari.
Pada saya, ini sangat indah. Ada kehormatan, ada maruah.
![]() |
| Foto Freepik |
Tapi… Kenapa Hanya Orang Islam Boleh Makan Daging Korban?
Soalan yang biasa ditanya.
Jawapannya: sebab ia ibadah.
Daging korban bukan semata-mata daging. Ia datang dari niat, dari lafaz nama Allah, dari proses sembelihan yang dilakukan sebagai ibadah khusus.
Ibaratnya begini, bolehkah kita ambil bahagian dalam ibadah agama lain — misalnya, makan buah, kuih yang digunakan dalam ritual agama tertentu — begitulah juga daging korban. Ia bukan tentang diskriminasi, tapi tentang makna ibadah itu sendiri.
Kalau daging biasa? Tak ada masalah langsung. Boleh kongsi, boleh jamu — tak kira bangsa atau agama.
“Tapi kenapa nak sembelih haiwan pun kena raikan?”
Soalan ini juga selalu keluar. Dan jawapannya — bukan kita raikan darah. Kita raikan pengorbanan.
Lembu, kambing, unta — semuanya adalah alat. Sebenarnya yang dikorbankan adalah keinginan diri. Kita diajar untuk lepaskan sesuatu yang kita sayang demi sesuatu yang lebih besar.
Dalam hidup kita hari ni, pengorbanan boleh jadi:
- Masa tidur demi anak.
- Duit poket untuk bantu jiran.
- Ego sendiri demi sebuah maaf.
Dalam Surah Al-Hajj ayat 37,
Allah SWT berfirman, "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah SWT tetapi akan sampai kepada-Nya ialah amalan yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu".
Penutup: Bila Tak Faham, Kita Tanya
Saya faham — sesetengah perkara dalam agama orang lain memang nampak pelik pada mata kita. Tapi pelik tak bermakna salah. Mungkin cuma kita belum kenal.
Dan kalau tak tahu, boleh tanya. Jangan terus sangka. Sebab, dengan satu soalan baik, kita bukan saja belajar, malah kita bina jambatan baru antara semua.
KuihkociMy


0 Comments