Retorika Mansuh Bayaran PTPTN


Logo PTPTN (Google)

“Pinjam duit belajar, tapi nanti nak kena bayar pulak? Baik tak payah sambung belajar. Buat tambah hutang je …”

Jom hari ini saya kongsikan sedikit sembang santai tentang PTPTN — tabung biru yang ramai orang ada love-hate relationship dengannya. Masa mula-mula masuk universiti, dialah ‘penyelamat’. Tapi bila terima surat ‘bayar hutang’ lepas konvo, mula lah ramai tarik muka.


Apa sebenarnya PTPTN?

Baik, kita mula dengan pengenalan dulu. PTPTN ialah singkatan bagi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Tugasnya mudah — untuk memberi pinjaman kewangan kepada pelajar IPTA & IPTS supaya dapat menampung yuran, membeli buku, membayar sewa asrama, top up data internet, sekurang-kurangnya untuk menampung sebahagian keperluan perbelanjaan satu semester.

Kalau tidak berjaya dapat biasiswa, atau keluarga tidak berkemampuan, PTPTN inilah yang menjadi penyambung harapan.

Tapi kalau hanya sebahagian? How can students survive? Tenang, topik ini saya akan sentuh dalam isu lain nanti (tolong ingatkan saya kalau saya terlepas!).


Bilakah PTPTN ditubuhkan?

PTPTN ‘lahir’ pada 1 November 1997. Bermakna, sudah lebih 25 tahun PTPTN setia berkhidmat untuk anak-anak Malaysia. Kalau diibaratkan manusia, umurnya sudah cukup untuk punya anak sekolah rendah.


Siapa yang layak memohon?

Syaratnya pun mudah:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Mendapat tawaran belajar di IPTA atau IPTS yang diiktiraf.
  3. Kursus pengajian menepati syarat minimum.

Tidak perlu pointer 4 flat pun — asalkan memenuhi syarat kelayakan universiti, insya-Allah layak memohon.


Kenapa Pinjaman boleh ubah PTPTN wajar diteruskan?

  1. Tidak semua keluarga mampu menanggung kos pengajian tinggi.
  2. Kos pendidikan semakin meningkat, PTPTN membantu menampung keperluan asas pelajar.
  3. Peluang pendidikan dapat dinikmati secara adil — anak orang kaya mahupun anak nelayan, sama-sama layak meminjam.
  4. Pinjaman ini sebenarnya ‘pelaburan’ kerajaan untuk melahirkan masyarakat berpendidikan.
  5. Boleh diubah kepada pengurangan sehingga pengecualian bayaran kepada pelajar yang bersungguh meneruskan pelajaran.


Tapi… kenapa tak patut bagi semua orang pengecualian?

Bunyinya memang seronok — retorika politikus yang membara

hapus hutang PTPTN, mansuh bayaran!

Tetapi realitinya:

  1. Wang PTPTN adalah dana bergilir — yang membayar, duitnya diputar untuk pinjaman pelajar baru.
  2. Jika semua orang tidak membayar, dana akan kering. Siapa rugi? Anak cucu kita sendiri.
  3. Kerajaan terpaksa menampung defisit, beban bajet negara makin bertambah.
  4. Maka kesannya akan kembali pulang kepada rakyat - cukai akan meningkat dan lain-lain untuk menampung defisit tersebut.
  5. Boleh terbentuk budaya sambil lewa — hutang belajar pun tidak diambil serius, apatah lagi hutang lain.


Dah berapa ramai dapat manfaat?

Sehingga kini, PTPTN telah membantu hampir 3.95 juta pelajar, dengan nilai pinjaman melebihi RM71 bilion. Daripada jumlah ini, dianggarkan hanya sekitar 26% peminjam telah berjaya melunaskan pinjaman sepenuhnya, manakala 15% sedang membuat bayaran secara konsisten dan 21% lagi membayar tetapi tidak menentu. Masih ada kira-kira 10% yang belum memulakan bayaran langsung, menjadikan tunggakan pinjaman mencecah lebih RM10.8 bilion.

Dalam masa yang sama, sekitar 4% peminjam menikmati pengecualian bayaran penuh kerana menamatkan pengajian dengan Ijazah Kelas Pertama. Sementara itu, dianggarkan 10–20% lagi (anggaran purata diambil 14%) pernah menerima diskaun atau pengurangan bayaran, sama ada melalui pembayaran penuh sekali gus atau potongan gaji yang teratur.

Kesimpulannya, 56% peminjam masih belum membayar jumlah pinjaman yang diberi, dan inilah sebab kenapa isu mansuh bayaran PTPTN perlu difikirkan secara rasional — agar dana pendidikan ini terus kekal untuk anak cucu kita.


Tapi… isu ni selalu dijadikan modal retorik.

Setiap kali pilihan raya, mesti ada orang jual janji:
“Kami janji mansuhkan hutang PTPTN!”
“Kami janji semua percuma!”

Tapi realitinya? Siapa yang menanggung beban? Pelajar yang masih belajar dan generasi akan datang. Bila dana mengecil, jumlah pinjaman dikurangkan, kos belajar pula semakin naik — akhirnya susah itu berbalik kepada kita.


5 Soalan ‘Panas’ Untuk Diajukan Kepada Si-Retorik ‘Mansuh Bayaran’

Kalau benar kita sayangkan negara dan mahu sistem pendidikan terus kukuh, cuba tanya diri sendiri — adakah retorik itu benar-benar membantu, atau sekadar sedap didengar?

1. Siapa benar-benar layak terima pengecualian bayaran?
Pengecualian pinjaman hanya untuk pelajar Ijazah Kelas Pertama. Tapi adakah semua yang layak memohon tahu prosedur? Adakah proses permohonannya telus? 

2. Adakah kadar bayaran balik sekarang sudah cukup adil?

Kadar bayaran balik masih sekitar 50–60% sahaja. Patutkah sistem ini diperkemas — contohnya melalui potongan gaji automatik, supaya hutang tidak bertambah dan tidak membebankan graduan kemudian hari?

 

3. Jika bayaran PTPTN dimansuh, bagaimana dana pelajar baharu disediakan?
Kalau hutang lama dihapuskan, apa jaminan pelajar generasi seterusnya tetap dapat pinjam? Mampukah kerajaan menanggung peruntukan tambahan tanpa membebankan belanjawan negara?

 

4. Apa insentif untuk peminjam yang membayar balik dengan baik?

Pelajar yang bayar mengikut jadual jarang diraikan. Wajarkah ada lebih banyak ganjaran — contohnya rebat tambahan, skor kredit lebih baik, atau sijil penghargaan — supaya budaya bertanggungjawab dipupuk?

 

5. Apa tindakan tegas dan adil untuk mereka yang gagal membayar PTPTN?

Ramai peminjam masih tidak memulakan bayaran, walaupun sudah mampu bekerja. Adakah pihak berkuasa memantau dan mengurus kutipan dengan sistematik? Apa sebab sebenar ramai enggan membayar — adakah kerana kesukaran kewangan, atau sikap sambil lewa? Kerajaan wajar lebih tegas tetapi adil, supaya tidak membebankan pembayar yang jujur.


Kesimpulan? Berbudilah kepada yang berbahasa.

Ilmu yang kita timba hari ini adalah amanah. Pinjaman yang memudahkan pengajian juga satu nikmat yang wajar dibalas dengan tanggungjawab.

Bayarlah sedikit demi sedikit, sedaya mampu. Biar perlahan, asalkan tetap dibayar. Kita bantu diri sendiri, sambil kita bantu anak cucu yang bakal menuntut ilmu selepas kita.

Kalau bermanfaat, kongsikan tulisan ini. Semoga lebih ramai faham, bersyukur dan sama-sama menjaga amanah ini.

Salam hormat 

kuihkocimy