‘Tapi dia dapat sebab kuota…’

Foto Freepik

“Tapi dia dapat sebab kuota…”
Pernah dengar ayat ni? Biasanya keluar masa keputusan UPU diumumkan. Ramai yang kecewa bila tak dapat tempat, dan mula salahkan ‘kuota’. Tapi bila makin dewasa dan banyak membaca, baru saya sedar isu ni tak semudah siapa layak atau tidak. Jadi hari ini, saya kongsi sedikit cerita tentang apa sebenarnya kuota Bumiputera, kenapa wujud, dan patut ke diteruskan?


Apa sebenarnya kuota Bumiputera ni?

Kalau kita tengok secara umum, kuota Bumiputera ni wujud dalam beberapa sektor utama:

  1. Pendidikan – kemasukan ke IPTA, matrikulasi, biasiswa Mara, MRSM.
  2. Perumahan – peratusan unit rumah reserved untuk Bumiputera (biasanya ~30%).
  3. Pekerjaan – agensi kerajaan dan GLC biasanya ada keutamaan kepada Bumiputera.
  4. Ekonomi – Dasar Ekonomi Baru (DEB) dulu letakkan sasaran 30% ekuiti Bumiputera.


Ada dalam Perlembagaan ke?

Jawapannya: Ya. Ada.

Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa:

"Yang di-Pertuan Agong hendaklah memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain."

Ini bukan dasar suka-suka. Ia lahir dari sejarah yang panjang.

Zaman British dulu, masyarakat sengaja dipecah-pecahkan mengikut kerja:

  1. Melayu/Bumiputera: petani, pesawah, nelayan.
  2. Cina: lombong, perdagangan, peniaga bandar.
  3. India: ladang getah, kerani awam.

Sistem ‘pecah dan perintah’ ni sengaja diwujudkan supaya rakyat susah bersatu. Hakikatnya, sebelum dijajah, rantau ini — termasuk Kepulauan Melayu, Nusantara, India, China, Thailand, Filipina dan Indonesia malah naik hingga ke kerajaan Uthmaniyah — saling berdagang, malah keluarga diraja saling berkahwin untuk mengukuhkan hubungan serantau. Semua ini membuktikan bahawa sebenarnya kita adalah satu rumpun Asia yang makmur dengan hasil bumi, pelabuhan perdagangan dan jaringan maritim yang penting pada zaman itu.

Tapi selepas 500 tahun dijajah, struktur sosial kita diubah: kaum Cina diberi peluang lebih besar dalam perlombongan dan perdagangan, sementara Bumiputera kekal di luar bandar sebagai petani atau nelayan. Kesan dasar pecah perintah ini masih ketara walaupun selepas 68 tahun — penguasaan ekonomi masih berpihak kepada kaum Cina, manakala ramai Bumiputera dan India ketinggalan dari segi pendidikan, kekayaan dan peluang pekerjaan, terutamanya di kawasan luar bandar.


Demografi & Realiti

Kalau kita nak faham konteks sebenar, kita kena tengok demografi negara:

  1. Bumiputera: ~70%
  2. Cina: ~23%
  3. India: ~7%

Adil ke sebenarnya?

Soalan begini wajar dinormalisasikan dalam perbincangan, supaya kita lebih kritis dan tidak mudah menerima bulat-bulat setiap maklumat yang tular.

Dari satu sisi:

Kuota ni membantu golongan majoriti yang ketinggalan untuk ‘catch up’ dan dapat peluang yang setara.

Tapi dari satu sisi lagi:

Ada yang rasa ketidakadilan berlaku kepada bukan Bumiputera yang cemerlang tapi terlepas peluang hanya kerana kuota.

So… adil ke tak? Jawapannya: bergantung pada bagaimana kita faham konsep kesamarataan (equality) vs keadilan (equity).

Kadang kita kena beri lebih pada yang kurang, supaya semua boleh berdiri di titik mula yang sama.

Kalau kita tengok kesan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan sejak 1971, banyak perubahan besar berlaku. Sebagai contoh, perwakilan Bumiputera dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkat daripada 24% pada tahun 1970, melonjak ke 49% pada tahun 2023. Golongan profesional Bumiputera juga bertambah daripada 47% kepada 66% dalam tempoh sama. Namun begitu, dari segi pegangan ekuiti, sasaran asal iaitu 30% masih belum tercapai sepenuhnya — tahun 1970, Bumiputera hanya menguasai sekitar 2.4% ekuiti, meningkat ke 19.3% pada 1990, sekitar 23.5% pada 2011, tetapi menurun semula ke 16.2% pada 2015. Dalam masa yang sama, komuniti Cina terus memegang sebahagian besar ekuiti swasta dan hartanah premium di kawasan bandar, hasil kelebihan modal dan jaringan perniagaan yang sudah kukuh sejak zaman penjajahan.

Dalam sektor perumahan pula, dasar mewajibkan sekitar 30% unit disediakan khusus untuk Bumiputera. Walaupun statistik pemilikan rumah dalam kalangan Bumiputera menunjukkan trend yang baik, realitinya ramai masih sukar menembusi pasaran hartanah berharga tinggi di kawasan bandar utama.

Dalam bidang pendidikan pula, enrolmen pelajar Bumiputera di universiti awam mencecah sekitar 81.9% — selebihnya bukan Bumiputera, walaupun populasi Bumiputera sekitar 70% sahaja. Program matrikulasi misalnya menyediakan 90% kuota untuk Bumiputera dan hanya 10% untuk bukan Bumiputera, berbeza dengan situasi pada awal 1970-an apabila nisbah Bumiputera di IPTA hanyalah sekitar 55%.


Boleh diperbaiki tak? Of course.

Antara penambahbaikan yang selalu dicadangkan:

  1. Kuota bersasar berdasarkan pendapatan – bantu yang miskin tak kira kaum.
  2. Peningkatan meritokrasi secara berperingkat, tanpa buang perlindungan sedia ada.
  3. Lebih ketelusan – supaya tak timbul persepsi ‘orang dalam’ atau ‘pilih kasih’.
  4. Fokus pada kualiti, bukan kuantiti – pastikan yang dapat tempat benar-benar layak dan disokong sepenuhnya.

Untuk faham kenapa penambahbaikan ni penting, cuba lihat contoh dalam sektor pendidikan. Populasi Bumiputera di Malaysia sekitar 69–70% daripada rakyat. Secara logik, kalau sistem kemasukan ke universiti 100% merit, angka enrolmen sepatutnya lebih kurang sama — iaitu sekitar 70%. Tapi realitinya, peratusan pelajar Bumiputera di universiti awam cecah 81–82%. Ini bermakna angka ini melebihi nisbah populasi, dengan adanya dasar affirmative seperti kuota, matrikulasi khas, biasiswa Mara dan pelbagai bantuan.

Di sebalik angka ini, perlu difahami konteksnya: majoriti Bumiputera masih tinggal di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak — sekolah kurang kemudahan, guru pakar terhad, bimbingan tambahan pun sukar dapat. Kalau bersaing 100% merit tanpa ‘tangga tambahan’, ramai akan tercicir. Itulah sebabnya kuota diwujudkan: supaya pelajar luar bandar pun ada peluang ubah nasib keluarga.

Sebaliknya, bukan Bumiputera — walaupun populasi lebih kecil (≈30% jika campur Cina & India) — ramai yang cemerlang di sekolah bandar, ada tuisyen, sokongan keluarga dan budaya belajar yang mantap. Jadi, persaingan untuk baki kuota yang kecil jadi amat sengit. Inilah dilema: kalau kuota dihapuskan, ramai pelajar Bumiputera luar bandar mungkin kalah saing. Tapi kalau terlalu berat sebelah, pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang pula rasa terpinggir.

Untuk mengimbangi persaingan dan menampung pelajar bukan Bumiputera yang layak tetapi terhad tempat, kerajaan juga membenarkan dan menyokong penubuhan banyak institusi pengajian tinggi swasta, ditambah pula dengan kemampuan kewangan rata-rata keluarga bukan Bumiputera yang lebih kukuh.


Cabaran serta Sumbangan Semua Kaum.

Foto Freepik

Kalau pegangan ekonomi sudah benar-benar seimbang dan dibahagi sama rata antara semua kaum, barulah kuota boleh dibuka. Tapi realitinya, GDP dan pegangan ekuiti masih jauh dari sasaran. Sebab itulah, buat masa ini, kuota masih relevan.

Namun, satu lagi cabaran besar ialah kebocoran dan monopoli yang melemahkan dasar Bantu-Bumiputera. Isu ketirisan, rasuah dan rent-seeking masih berlaku. Kadang-kadang ada projek ‘Ali Baba’: nama Bumiputera, tapi kerja orang lain. Akhirnya, peluang sebenar tak sampai kepada mereka yang betul-betul perlukan.

Walau bagaimanapun, di sebalik cabaran-cabaran ini, semua kaum sebenarnya telah sama-sama memainkan peranan penting dalam membangunkan negara. Bumiputera menjadi tunjang sektor awam, keselamatan, pendidikan dan kesihatan negara. Bukan Bumiputera pula memacu sektor ekonomi swasta, pelaburan, perdagangan dan rangkaian global. Pendek kata, kita saling melengkapi. Lagi pula, dengan geran penyelidikan, dana startup dan capaian internet yang makin baik, makin banyak peluang baru terbuka — asalkan kita rajin rebut, bukan hanya harap pada kuota semata-mata.


Penutup: So… adil ke tak?

Bagi saya, jawapannya tak semudah ‘ya’ atau ‘tak’. Adil bukan bermaksud semua dapat sama rata — tetapi yang kurang dibantu sampai semua boleh berdiri sama tinggi. Yang lebih penting, kita terus berbincang dengan hati terbuka, bukan sekadar nak menang hujah, tapi supaya semua faham konteks sebenar. Sebab akhirnya, Malaysia ni rumah kita bersama. Kalau satu kaum terasa tercicir, gegarannya dirasai oleh seluruh negara.

Apa yang perlu sekarang ialah kita sama-sama lihat, semak, kaji dan teliti semula di setiap jabatan: kenapa jurang pertumbuhan ekonomi antara kaum masih besar? Rakyat perlu bersatu, jadi mata dan telinga untuk imbangkan tindakan kerajaan. Atas kertas mungkin cantik, tapi di padang sebenar masih banyak lecak dan debu yang perlu diurus.

Kuota hanyalah alat sementara. Untuk benar-benar capai keseimbangan, asas seperti pendidikan berkualiti, modal dan peluang perniagaan mesti diperbaiki dulu. Bila semua orang sudah mampu berdiri atas kaki sendiri — waktu itu, kuota pun tak perlu lagi.

Ingat, isu perkauman bukan senjata untuk melemahkan — tapi akar yang perlu diurus dan disusun rapi, supaya jadi tunjang yang menguatkan bangsa.


Salam hormat, 
Kuihkocimy