Ada orang kata, untuk sayang negara, kena tanam jati diri.

Foto Freepik


Tapi jati diri tu datang dari mana?

Dari budaya?
Dari cerita tok dan nenek?
Dari makanan warisan?
Dan betul ke — dari bahasa?

Sebab itu kita selalu dengar pepatah:
“Bahasa jiwa bangsa.”

Tapi…
Pasti kita pernah dengar cakap-cakap orang dan perbalahan begini:

“Alaa Bahasa Malaysia?  Too lame lah. Tak style. Tak nampak bijak.”
“English better kot. International. Lebih classy.”
“BM ni bosan. Sastera je banyak. Tak relevan pun.”

Dan yang cakap Bahasa Malaysia pula

"Tak pandai cakap Bahasa Malaysia, jangan duduk negara ni la." 

"Asik-asik berlagak." 


Dan dari negara seberang pula, 
"Ini bukan bahasa kamu. Kamu curi dari kami."

Akhirnya, sering saja menjadi bahan ejekan dan punca pergaduhan.

Kita Flashback Ke Zaman Dulu-Dulu

Zaman sebelum dijajah, sebelum TikTok dan before Instagram jadi trend...
Bahasa Malaysia tu bukan bahasa pinggiran.
Ia lingua franca – bahasa pengantara antarabangsa.

Pedagang Arab, India, Cina — semua berhubung, berniaga, bertukar budaya dalam Bahasa Malaysia.

Ya, ya. Semua dah belajar dalam Sejarah Tingkatan 2.
Bosann…

“Skip, next slide please.”

Sabar dulu. Jangan swipe laju sangat. 

Persoalnya:
Kalau dulu bahasa kita boleh jadi bahasa dunia, kenapa sekarang hanya jadi bahan ejekan?

Jawapannya,
Sebab kita sudah didoktrin untuk diam-diam mematikan bahasa kita sendiri. Sehingga kita jadi malu nak bertutur Bahasa Malaysia dengan indah. Buat kita rasa inferior dan rasa speak in English itu 'smarter'. Kita diajar melaga-lagakan sesuatu yang sebenarnya adalah alat atau tools untuk memahami sesama manusia. 

Dan… kita lupa, bahasa tu cerminan siapa kita. Sebab, sedar atau tak, kulit sawa matang, kuning langsat dan coklat gula perang ini bukannya 'putih'. Jadi kenapa terkinja-kinja nak diterima mereka?

Haa, maksudnya sama je lah dengan yang cakap kat atas tu? Berlagak sahaja mereka yang cakap bahasa inggeris ni! 

 Lahh bukan itu maksudnya

Bahasa tak pernah salah. Bahasa hanyalah bahasa. 

Dia tak mampu tunjuk semua bijaknya kita, baiknya hati kita, atau dalamnya ilmu kita. Jadi tak perlulah jadikan bahasa semata-mata kayu ukur siapa paling cerdik, siapa patut dihormati.

Cuma satu yang pasti:
Bila kita ada bahasa ibunda sendiri, kita ada jati diri.
Kita ada kekuatan dari dalam, bukan sekadar ikut-ikut atau tiru gaya orang lain konon nak nampak gah.

Sebab akhirnya, bahasa kitalah akar yang meneguhkan siapa kita — di mata sendiri, di mata dunia.

Pernah suatu ketika viral, berkenaan pertandingan festival budaya. Setiap negara bangga mengangkat pakaian tradisi dan tarian turun-temurun. Amerika? Mereka hanya ada kostum Captain America!

Begitulah juga bahasa yang kita perlu jaga dan kandung — kita ada warisan hidup, penuh nilai dan cerita. Bukan warisan kosong yang terpaksa dibuat-buat.

Tapi Saya Bukan Melayu. Saya Cina. Saya India. Nak rasa jati diri Malaysia macam mana?

Dan di sinilah jawapan paling mahal kita ada.

Malaysia ni unik.
Bukan satu kaum. Bukan satu warna.
Kita ada kelebihan yang negara lain tak ada. 
Kita sepatutnya boleh faham lebih dari satu bahasa.
Kita boleh hidup bersama dengan penuh warna.

Bahasa Malaysia — sebagai jambatan utama.
Bahasa Cina & Tamil — sebagai kekayaan warisan.
Bahasa Inggeris — jendela faham dunia, teknologi, ideologi.

Bayangkan kalau kita hidupkan semua tu, bukan untuk berlawan… tapi untuk saling faham. Masa tu, kita jadi satu kekuatan yang luar biasa hebat!

Dan apa itu bahasa Malaysia yang indah? Boleh rujuk Tiktok adik Zhiddin Aziz : Link, vibe anak muda, segar dan santai. Kalau bagi Usman Awang dan seangkatan, takut ramai tak larat nak hadam. 


Bahasa Itu Perpaduan. Ia Perlu Bermula Dari Kita.


Perbualan harian kita patut jadi kekuatan siapa kita.
Tak perlu tunggu Hari Kebangsaan baru nak sebut “sayang Malaysia.”

Cuba bayangkan:

“Vanakkam Kumar! Sapppaaa irukinga? (Apa khabar?)”

“Nǐ chī le ma, Ah Lim? ( Dah makan belum, Ah Lim?)”  

Assalamualaikum Ridwan, senyum je hari ni? Gaji dah masuk ke tu?

Bila semua ada tempat dalam perbualan seharian, barulah negara ni menjadi rumah yang memberi taduh dan rasa selamat. Bukan sekadar tempat lahir lalu tergantung-gantung di awangan.

Lucunya, bila jumpa orang Malaysia di luar negara — tak kira bangsa, tak kira agama — kita peluk erat, kita gelak sama-sama, kita bangga bercerita, “Ini orang kita.”

Jadi… kenapa bila balik ke tanah sendiri, kita lebih suka berbalah daripada mencari rukun? 


Kesimpulannya

Cinta negara ialah bila kita faham, dan jalin makna dengan hormat.
Mengapa bahasa perlu jadi dinding pemisah,
kalau kita boleh izinkan dia jadi jambatan terindah?

Salam hormat, 
KuihkociMY